Tuesday, 13 March 2018

...‘Kenen’...


Gigih jugak la sebenarnya Ira nak cari balik komik pasal ‘kenen’ ni tapi tak jumpa pulak. Mungkin ada yang pernah terbaca Islamic Comic pasal topik ni. Kalau ada yang tau kat mana nak cari bagitau Ira k.

Apa itu ‘kenen’?
‘Kenen’ ni asal dari dialek orang utagha kot kalau tak silap. Bahasa mudahnya, ‘kenen’ ni macam usik-mengusik sesama kawan tentang couple. Contohnya :
     “Betul dia suka kau la”
     “Dia asyik tengok kau je. Sah la memang dia suka kau”
     “Eh, sama pulak baju korang hari ni. Berjanji ke? Kuat instinct nih? Ada jodoh nih.”
Dan kata-kata yang seumpama dengannya.

Hati seorang wanita itu lembut dan mudah terusik. Walaupun bersungguh-sungguh dia cuba menafikan segala usikan, menganggapnya sebagai gurauan semata-mata. Tapi jika ‘kenen’ itu seringkali diajukan padanya…pasti ada hati yang terusik. Pasti terdetik walau sekali :
       “Betul ke dia suka aku? Diorang main-main je ni”
       “Eh, apesal aku gelabah pulak depan dia ni. Selalu ok je. Aku suka dia ke?”

Sejauh mana hati seorang wanita itu tidak terusik dengan kata-kata yang berbunga-bunga? Yup! Niatnya untuk bergurau, suka tengok kawan kita blushing, suka tengok kawan kita gelabah nak menafikannya. Tapi sedarlah dalam penafian yang lahir dari bibirnya, ada taman sedang mekar dalam hatinya. Hati-hati!! Kerna ‘kenen’ ini mampu menjerumuskan seseorang itu ke kancah zina hati.
          
Adakah kita ingin menjadi asbab kepada terlukanya hati seorang teman jika dalam diam hatinya mula terbina sebuah harapan? Adakah kita ingin menjadi asbab kepada gugurnya air mata seorang teman apabila bunga yang mula mekar angkara ‘kenen’ itu layu berguguran? Walau tidak parah, pasti sedikit sebanyak hati terguris bila gurauan itu menyimpang dari hakikat realiti yang sebenar. Sakitnya hanya yang melalui merasainya. Cakap mudah :
        “Alaaa…aku main-main je. Kenapa kau serius sangat?”
        “Aku tau kau dengan dia takde pape pun. Saje nak ngusik kau.”

Jujur…Ira juga pernah melalui situasi yang sama. Terjatuh hati angkara ‘kenen’ teman-teman. Dan kerananya Ira pernah menangis kecewa. Kelakar kan? Kenapa pula kau nak menaruh harapan pada yang tak pasti? Dan jujur pada ketika itu, wajah-wajah mereka yang sering ‘kenen’kan Ira mula bermain di ruang mata. Terdetik di hati…

“Kalau kau tak ‘kenen’ aku, mesti tak jadi macam ni. Mesti aku tak kecewa macam ni.”

Cup! Cup! Pada kawan-kawan yang terasa hati lepas baca ni…mohon bersabar dulu. Cerita belum habis.

Antara yang paling sukar bukan sahaja dalam nak memujuk hati sendiri, tapi juga bilamana kau nak berlagak biasa di hadapan mereka yang seringkali ‘kenen’kan kau. Bimbang terdetik rasa bersalah di hati mereka melihat keadaan kita yang kecewa. Tahu...rasa itu tak mampu disembunyikan. Dan malu mula bertandang. Ya Allah…malunya menangis akan sesuatu yang tidak pasti.

Masa ni…I’m coming back to my sense. Dah kenapa pulak kau nak salahkan orang lain? Sepatutnya kau salahkan diri sendiri kerana terlalu mudah hanyut dengan gurauan dan usikan mesra teman-teman. Bukannya kau tak tahu hakikat dan realiti yang sebenarnya. Kenapa masih juga kau biarkan hati dan perasaan kau terbuai dengan mimpi indah itu? Kenapa? Dan hati bagai diketuk keinsafan. Kembali padaNya, muhasabah diri, fikir semula apa yang telah kau lakukan. Allah…benarlah hati wanita itu sensitif, mudah terusik. Maka kau yang perlu berusaha untuk menetapkannya. Apa yang perlu kau lakukan? Mohon pada Allah Yang Maha Kuasa, yang memegang hati-hati manusia, yang membolak-balikkan hati manusia. Mohon ditetapkan hatimu dari anasir-anasir yang melalaikanmu. Jangan hanyut dengan keindahan yang bersifat sementara itu.

Dan Ira mula faham baik buruknya sikap suka ‘kenen’ orang ni. Tak salah untuk bergurau tapi setiap gurauan ada batasnya. Dan Ira mula berjanji pada diri untuk tidak ghairah ‘kenen’kan sesiapa terutamanya sahabat yang Ira sayang dunia akhirat. Ira taknak jadi asbab kecewanya hati seorang sahabat. Tak sanggup rasanya Ira tengok dia menangis gara-gara usikan Ira. Dan buat diri sendiri…kuatlah! Jangan mudah sangat hanyut. Kau punya prinsip, maka pegang ia seerat mungkin. Jangan prinsip itu hanya mainan bibir tapi laksanakannya! Moga kau terus tabah duhai hati. Walau berapa kali pun kau tersungkur, moga kau terus bangun menjadi wanita hebat. Aminnn…



No comments:

Post a Comment