إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعون
Ya Allah Ya Tuhanku ampunilah dia, rahmatilah dia, maafkanlah dia, muliakanlah kematiannya, lapangkanlah kuburnya, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggalnya dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya. Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.
Pagi ini menerima khabar teman sekelas telah kembali ke rahmatullah. Allahuakbar...terkedu seketika. Insan yang banyak membantu aku dalam keluh kesah gemelut thesis final year. Bagai terngian-ngiang suaranya petang itu. Bagai terlihat bayangannya menolak pintu kaca itu dan terus menarik kerusi lalu duduk di sebelahku. Tanpa amaran terus mencapai draft di atas meja dan membeleknya satu persatu. Terpinga seketika dengan tingkahnya bila diri ini baru sahaja berendam air mata cuba mencari kekuatan untuk teruskan perjuangan akhir itu.
"Kenapa sis? Kau ok ke ni? Takpe sis...nanti aku tolong kau. Rujukan nie aku ade. Malam nanti aku datang. Dah...kau tak yah nak nangis. Relax je nanti aku tolong kau"
Kata-katanya kembali memutar di benak fikiran. Tiga tahun usia perkenalan walau tidak serapat mana kecuali tahun akhir tiba-tiba kelibatnya sentiasa ada di sekitar aku, menghulur bantuan tanpa dipinta. Subhanallah...mulia sungguh dirimu teman.
Akhi Kamal Mustaqim...kau pergi mengiringi ulama tersohor di negara ini. Damailah dikau di sana. Sesungguhnya dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali. (Kembali ke rahmatullah pada malam Jumaat, tanggal 29 September 2016).
Kenangan terakhir bersama pemikir keseluruhannya, hari terakhir final exam
Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, UKM